Sunday 29 January 2012

11 jenis karangan


Soalan:
Anda telah dijemput oleh Persatuan Bahasa Melayu untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk  “ Menyemaikan Tabiat Membaca Dalam Kalangan Kanak-kanak”.Tulis teks syarahan itu selengkapnya.

Jawapan:  

  Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar, Encik Anand Bin Baharuddin, guru-guru penolong kanan, guru-guru dan para pelajar yang dihormati.
  Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada Panitia Bahasa Melayu kerana memberi saya ruang dan peluang untuk menyampaikan syarahan pada pagi ini.Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan ialah “Menyemaikan Tabiat Membaca Dalam Kalangan Kanak-kanak”.
Hadirin sekalian,
  Tabiat membaca sememangnya banyak mendatangkan manfaat kerana amalan ini adalah jambatan ilmu.Oleh itu, minat membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, iaitu pada peringkat kanak-kanak.Dalam hal ini ibu bapa harus memainkan peranan penting kerana mereka senantiasa mendampingi anak-anak di rumah.Oleh itu, pelbagai inisiatif boleh diambil seperti menyediakan bahan bacaan yang menarik, bermutu tinggi, sesuai dengan tahap umur, dan dapat menghiburkan mereka.Di samping itu, ibu bapa harus menunjukkan minat membaca semasa mengisi masa lapang di rumah.Jadi, lama-kelamaan tabiat ini akan menjadi ikutan kanak-kanak.
  Selain peranan ibu bapa, masyarakat harus turut memainkan peranan untuk menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat.Pihak-pihak tertentu perlu mengadakan aktiviti-aktiviti yang dapat menyemai minat membaca seperti pertandingan bercerita dan sebagainya.Di peringkat sekolah pula, program yang sering dilakukan seperti Program Nilam amatlah bertepatan dan perlu disokong oleh semua pihak.Program ini bertujuan untuk menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar-pelajar.Selain itu, pihak sekolah boleh menyediakan pondok-pondok bacaan supaya para pelajar dapat mengisi masa lapang ketika rehat dengan aktiviti membaca.Dengan ini sikap gemar membaca dapat dipupuk dalam kalangan pelajar.
Hadirin sekalian,
  Bagi mereliasasikan wawasan Negara untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berwawasan, kita perlulah mengambil pelbagai inisiatif agar tabiat suka membaca menjadi amalan dalam kalangan kanak-kanak.Kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya” perlu diamalkan.
  Sekian terima kasih.

1.  








              Surat rasmi
Solan:
Sebagai setiausaha Lembaga Perpustakaan, anda dikehendaki memohon derma daripada seorang dermawan yang bertujuan untuk menambah bilangan buku-buku rujukan di pusat sumber.Tulis sepucuk surat untuk tujuan tersebut selengkapnya.
Jawapan:
Kolej Melayu Kuala Kangsar,    
33000 Kuala Kangsar,
Perak Darul Ridzuan.

                                                                                                                                                                                        
Tuan Haji Razali Alias,
Pengarah Urusan,
Syarikat Pembinaan Visi Murni,
83000 Batu Pahat,
Johor Darul Takzim.                                         

Tuan,
Memohon Derma Untuk Membeli Dan Menambah Bilangan Buku-Buku Rujukan Di Pusat Sumber Tunku Abdul Rahman(MCKK)

Dengan segala hormatnya, saya selaku Setiausaha Lembaga Pusat Sumber Kolej Melayu Kuala Kangsar(MCKK) amat mengharapkan jasa baik Tuan untuk menghulurkan derma bagi tujuan membeli dan menambah bilangan buku-buku rujukan di Pusat Sumber Tunku Abdul Rahman.

2.Untuk makluman Tuan, pihak MCKK telah melancarkan projek pembinaan pusat sumber baru menggantikan pusat sumber lama.Kos perbelanjaannya dibiyai hasil pungutan derma daripada warga sekolah, orang ramai, dan pihak swasta selain bantuan pihak kerajaan.Pusat Sumber baru yang lebih besar dan lebih selesa serta berupaya memuatkan 180 orang pada satu-satu masa ini turut dilengkapi kemudahan computer dan multimedia.Sejak lima bulan lalu, pusat sumber tersebut sudah siap dibina sepenuhnya dan sudah boleh digunakan oleh semua warga sekolah.

3.Walau bagaimanapun, pusat sumber ini menghadapi suatu masalah besar, iaitu kekurangan buku-buku rujukan dalam pelbagai bidang.Untuk pengetahuan Tuan, setakat ini pusat sumber tersebut cuma ada 4000 buah buku rujukan sahaja.Antara buku tersebut pula, ada yang isi kandungan dan fakta-faktanya sudah ketinggalan zaman serta tidak tepat lagi dengan situasi terkini.Oleh hal yang demikian, buku-buku berkenaan tidak sesuai digunakan sebagai rujukan tambahan.

4.Bertitik tolak daripada keperluan yang mendesak itulah maka kami meluahkan hasrat untuk memohon derma daripada Tuan.Terpulanglah atas budi bicara Tuan untuk menentukan jumlah sumbangan ikhlas yang ingin Tuan dermakan.Bersama-sama dengan surat ini, kami lampirkan borang sumbangan derma untuk kemudahan Tuan.Kembalikanlah boring ini beserta dengan sumbangan derma Tuan dalam sampul surat bersetem yang turut kami lampirkan.

5.Tinggilah harapan kami agar permohonan derma ini dapat Tuan penuhi.Kami memberikan jaminan bahawa sumbangan Tuan kelak akan digunakan hanya untuk pembelian buku-buku rujukan dan yang seumpamanya untuk melengkapkan pusat sumber berkenaan demi keperluan guru-guru dan para pelajar.Sesungguhnya, sumbangan Tuan amat kami hargai dan akan senantiasa kami ingati selagi hayat dikandung badan.

Akhir kata, atas perhatian dan jasa baik Tuan, kami rakamkan ucapan jutaan terima kasih.Sekian terima kasih.

Yang Benar,
Hafizudin
(Hafizudin Zainal)
Setiausaha Lembaga Pusat Sumber,
Kolej Melayu Kuala Kangsar,
33000 Kuala Kangsar,
Perak. 



surat tidak rasmi
Soalan:
Anda belajar di sebuah sekolah berasrama penuh.Anda ingin menceritakan suasana dan kehidupan harian anda di asrama kepada keluarga anda.Tulis sepucuk surat kepada kepada keluarga anda di kampung.

Jawapan:

                                                                               Kolej Melayu Kuala Kangsar
                                                                               33000 Kuala Kangsar,
                                                                               Perak Darul Ridzuan.
                                                                               22 Januari 2012.

  Menemui ayahanda dan bonda yang anakanda kasihi dan ingati selalu, semoga berada dalam keadaan sihat walafiat selalu.Anakanda di sini alhamdulillah sihat sejahtera.

Ayahanda dan Bonda,
  Tampaknya sudah hampir sebulan anakanda berada di sekolah berasrama penuh ini.Anakanda sudah dapat menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan di asrama.Anakanda gembira tinggal di sini kerana rakan-rakan di sini baik dan saling membantu.

  Untuk pengetahuan ayahanda dan bonda, kehidupan seharian anakanda bukanlah seperti di rumah.Hidup di asrama mengajar anakanda hidup berdikari.Semua kerja terpaksa anakanda lakukan sendiri seperti membasuh dan menyeterika baju.Di sini anakanda serta rakan-rakan yang lain harus bangun awal pagi.Selepas mandi dan menunaikan solat subuh,kami bersiap-siap untuk ke sekolah.Pulang dari sekolah kami ke dewan makan untuk menikmati hidangan tengah hari.Kemudian, kami berehat seketika sebelum membuat kerja sekolah atau mengulang kaji pelajaran.Kami dibenarkan melakukan kegiatan masing-masing pada waktu petang.Pada waktu inilah anakanda mengambil peluang untuk membasuh pakaian atau berehat.

Ayahanda dan Bonda yang disayangi,
  Anakanda dan rakan-rakan yang lain dibenarkan pergi ke bandar pada hari Sabtu setiap minggu.Pada waktu inilah kami berpeluang membeli barang keperluan seharian.Kami dikehendaki memakai pakaian uniform sekolah dan dikehendaki pulang ke asrama sebelum pukul 6 petang.Memang pada mulanya anakanda berasa terkongkong kerana banyak peraturan yang harus anakanda patuhi.Tetapi dengan cara inilah yang dapat membentuk disiplin yang tinggi dalam diri anakanda.

  Tampaknya setakat inilah yang dapat anakanda tulis untuk ayahanda dan bonda.Anakanda berjanji akan belajar bersungguh-sungguh.Sampaikan salam anakanda kepada adinda Amir dan Syah.

  Sekian, terima kasih.

                                                                                                           Yang Benar,
                                                                                                             hafizudin
 
 
 
 
 
 
perbahasan

Soalan:
“Kelemahan Sesetengah Pelajar Melayu dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu Berpunca daripada Sikap Tidak Bersungguh-sungguh untuk Mempelajari Bahasa Melayu”.Bahaskan tajuk ini.

Jawapan:

  Apabila sesuatu keputusan peperiksaan diumumkan, pelbagai analisis dibuat untuk mengkaji prestasi para pelajar.Salah satu hasil analisis yang pernah kita baca ialah merosotnya pencapaian pelajar Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.Oleh sebab yang terlibat ialah pelajar-pelajar Melayu yang bahasa ibundanya bahasa Melayu, maka pelbagai rumusan dibuat.Salah satu rumusan itu ialah sikap tidak bersungguh-sungguh para pelajar Melayu sendiri untuk mempelajari bahasa Melayu.Adakah benar rumusan itu?Jika benar, mengapakah hal ini terjadi?

  Sesetengah pelajar Melayu tidak mengambil berat terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu.Hal ini demikian kerana mereka menganggap bahawa mereka sudah mahir berbahasa Melayu.Ketika mata pelajaran Bahasa Melayu diajarkan di dalam kelas, maka pelajar-pelajar Melayu tersebut tidak menumpukan perhatian yang sepenuhnya.
 
  Ketika mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan pula, mata-mata pelajaran lain seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Geografi, Sejarah, dan sebagainya diberi tumpuan yang lebih banyak jika dibandingkan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu.Hal ini berlaku kerana mata pelajaran Bahasa Melayu dianggap oleh pelajar-pelajar lebih mudah.Pada saat terakhir barulah mata pelajaran Bahasa Melayu hendak diulang kaji.Sebagai akibatnya mata pelajaran Bahasa Melayu tidak dapat diulang kaji secara menyeluruh.Oleh hal yang demikian,pelajar-pelajar Melayu itu gagal menjawab soalan-soalan peperiksaan yang dikemukakan itu dengan baik.

  Ada juga yang jarang-jarang atau tidak merujuk kepada kamus apabila menemukan kata-kata baru atau kata-kata yang sukar.Biasanya, mereka lebih gemar mengagak-agak maknanya atau ejaannya dan terus menggunakannya dalam ayat.Sebagai akibatnya, pelbagai kesalahan dari segi penggunaan kata dan ejaan dapat ditemukan, baik dalam latihan yang dikerjakan mahupun dalam kertas jawapan peperiksaan.

  Dalam pada itu, sebilangan pelajar Melayu didapati amt kurang membaca buku tentang tatabahasa Melayu.Mereka tidak berbuat demikian kerana yakin bahawa bahasa yang dituturkan oleh merekaitu sudah cukup baik dan bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam bahan bacaan yang selalu dibaca, misalnya surat khabar, majalah, cerpen, novel, dan sebagainya adalah betul.Biarpun mungkin bentuk bahasa yang digunakan itu salah, mereka tidak mengetahuinya.Sebagai akibatnya, bentuk bahasa yang salah dianggap sebagai betul.Bentuk bahasa yang salah inilah yang sering digunakan oleh mereka, baik dalam latihan atau dalam kertas jawapan peperiksaan.

  Berdasarkan fakta-fakta yang diberikan, ternyatalah bahawa sikap tidak bersungguh-sungguh sesetengah pelajar Melayu itu sendirilah yang menyebabkan mereka lemah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.Anggapan bahawa sebagai penutur asli maka pelajar Melayu mudah dapat menguasai Bahasa Melayu haruslah dikikis.








fakta

Soalan:
Dadah apabila disalahgunakan membawa padah.Nyatakan kesan buruk penyalahgunaan dadah terhadap masyarakat dan negara.

Jawapan:

  Dadah memberikan manfaat yang besar pada dunia perubatan.Pelbagai kajian dilakukan untuk menghasilkan pelbagai jenis dadah yang digunakan untuk perubatan.Walaupun dadah memberikan pelbagai kebaikan, dadah juga mengakibatkan pelbagai keburukan.Hal ini berlaku apabila penggunaan dadah ini dilakukan secara berterusan sehingga mengakibatkan ketagihan yang mendatangkan pelbagai keburukan.

  Dadah boleh memusnahkan kebahagiaan hidup seseorangApabila seseorang menagih dadah, maka gelaplah masa depannya.Badan dan otaknya menjadi lemah sebagai akibat dadah yang telah meracuni tubuhnya.Hidupnya akan senantiasa terseksa oleh rasa loya, pening, sakit perut, kekejangan, muntah-muntah, dan pelbagai gejala penyakit lagi.Gejala penyakit yang paling dahsyat sebagai akibat penggunaan dadah ialah Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit(AIDS).Puncanya bukan dadah tetapi jangkitan virus kurang daya tahan melawan penyakit (HIV) pada jarum suntikan yang dikongsi bersama-sama dengan penagih lain.

  Apabila muda-mudi terpengaruh oleh dadah, mereka tidak berguna lagi kepada masyarakat.Malah keharmonian, keamanan, dan keselamatan masyarakat pula terancam.Di samping itu, sebagai akibat pengaruh dadah, seseorang akan kehilangan harga diri dan kehilangan sifat-sifat kemanusiaan.Mereka sanggup merompak,sering berbalah,dan sanggup berbunuh-bunuhan semata-mata kerana dadah.

  Negara akan kerugian juga dari segi sumber tenaga manusia apabila banyak belia yang menagih dadah.Hal ini demikian kerana tenaga mereka tidak dapat digunakan untuk membangunkan negara.Sebagai akibatnya, pembangunan negara akan terjejas dengan teruknya.Selain itu, berjuta-juta ringgit terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk memberikan rawatan kepada para penagih dadah.Peruntukan terhadap pembangunan sosioekonomi negara terpaksa dikurangkan.Sebaliknya, peruntukan tersebut terpaksa disalurkan untuk usaha membiayai pembinaan serta pengurusan pusat-pusat pemulihan penagih dadah, melancarkan kempan antidadah, dan sebagainya.

  Sesungguhnya, memang banyak bahaya sebagai akibat penyalahgunaan dadah.Oleh itu, dadah dianggap sebagai musuh utama negara.Kerajaan turut melancarkan pelbagai kempen untuk membendung masalah penyalahgunaan dadah.Usaha ini harus disokong dan tidak harus dipikul oleh kerajaan semata-mata.Kita hendaklah bersama-sama bertanggungjawab untuk membanteras masalah penyalahgunaan dadah ini demi keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat umumnya.




pendapat
Soalan:
Kemajuan teknologi maklumat dikatakan banyak mendatangkan kesan yang positif ke arah pembentukan masyarakat maju.Oleh itu, masyarakat malaysia perlu memanfaatkan teknologi maklumat sebaik-baik mungkin.Berikan pendapat anda tentang isu ini.

Jawapan:

  Teknologi maklumat bermaksud sebarang bentuk teknologi yang dapat menyalurkan maklumat kepada manusia.Antara teknologi maklumat yang berkesan ialah telekomputer, radio, televisyen, telefon, dan sebagainya.Penggunaan alat-alat ini dalam kalangan masyarakat Malaysia mendatangkan kesan positif kepada negara dan seterusnya menaikkan taraf negara kita ke arah negara maju.Oleh itu, kita seharusnya menggunakan teknologi maklumat ini sebaik-baik mungkin.

  Sebab utama kita perlu memanfaatkan teknologi maklumat adalah untuk membolehkan kerajaan dan rakyat dapat berhubung dengan lebih mudah.Hal ini demikian kerana kerajaan dapat menyiarkan segala rancangan dan dasarnya untuk pengetahuan rakyat.Melalui kaedah ini, rakyat dapat memahami situasi sebenar,memberikan kerjasama, dan memberi sokongan serta maklum balas terhadapnya.Hubungan yang rapat antara kerajaan dan rakyat amatlah penting untuk menjamin keamanan dan kestabilan sesebuah negara.Pentadbiran kerajaan menjadi lebih cekap setelah penggunaan teknologi moden menjadi amalan dalam pentadbiran kerajaaan.Oleh itu, keupayaan teknologi maklumat menyebabkan kerajaan dan rakyat seolah-olah berdekatan antara satu sama lain.

  Seterusnya, teknologi maklumat dapat menambah pengetahuan orang ramai tentang peristiwa semasa yang berlaku di dalam mahupun di luar negara.Dengan kemudahan seperti internet,berita dan gambar-gambar yang terkini dapat disebarkan dan sebagai kesannya semua pihak dapat memperoleh maklumat itu selengkapnya.Sebagai contoh, berita gempa bumi yang berlaku di Pakistan disiarkan sacra lengkap dan terperinci dalam internet.Dengan yang demikian, kita merasai seolah-olah dunia kini kian kecil dan mudah untuk kita memperoleh apa-apa saja maklumat.

  Kemajuan teknologi maklumat turut menjimatkan masa, wang, dan tenaga kita ketika hendak berhubung dengan sesuatu pihak lain.Semua kemudahan yang disediakan melalui teknologi maklumat mengambil masa yang singkat kerana segala urusan hanya menggunakan kemudahan komputer.Wang yang digunakan untuk urusan pengangkutan dapat dijimatkan.Semua ini menyebabkan tenaga yang digunakan berkurang.Sebagai contoh, penggunaan e-mel di internet berupaya menjalankan segala urusan seperti ini dalam tempoh yang singkat.Dengan itu terbuktilah bahawa kita memperoleh faedah yang berganda-ganda setelah kita memanfaatkan teknologi maklumat.

  Kesimpulannya, kemajuan teknologi maklunat amat penting dimanfaatkan oleh sesebuah negara.Hidup kita tidak dapat lari daripada penggunaan teknologi seperti ini.Tanpa penggunaan teknologi seperti ini, kita akan merasakan bahawa wujudnya halangan dalam hubungan sesama manusia.Akhirnya, masyarakat yang ingin mencapai kemajuan dan menghayati ciri-ciri globalisasi mestilah akur dengan kemajuan teknologi maklumat ini.




peribahasa
Soalan:
Peribahasa digunakan oleh masyarakat Melayu sejak dahulu lagi.Salah satu peribahasa yang sering didengar dan dapat dijadikan amalan ialah “masuk ke dalamkandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak”.Tulis suatu karangan tentang peribahasa tersebut selengkapnya.

Jawapan:

  Masyarakat Melayu memang terkenal dengan berbagai-bagai peribahasa yang diwarisi sejak zaman-berzaman.Peribahasa yang berbunyi “masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak” ini merupakan salah satu daripada sekian banyak peribahasa yang telah lama   wujud, namun masih selalu digunakan hingga ke hari ini.Pada peribahasa ini, tersirat nasihat dan pengajaran yang sesuai dijadikan sebagai panduan hidup sepanjang zaman.

  Peribahasa “masuk ke dalam kandang kambiang mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak” membawa maksud kita hendaklah menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan kita.Maksud peribahasa ini hampir sama dengan satu lagi maksud peribahasa Melayu yang berbunyi, “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”, iaitu hendaklah menurut adat dan peraturan tempat yang kita diami.Berdasarkan maksud tersebut, ternyatalah bahawa peribahasa ini mempunyai maksud yang bersifat positif.

  Dalam konteks negara kita yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, terdapat pelbagai adat resam serta kepercayaan yang diamalkan oleh mereka dalam kehidupan seharian.Justeru memang bertepatan sekali sekiranya peribahasa berkenaan dijadikan pegangan dan panduan.Dengan demikian, akan timbullah suasana yang harmoni hasil daripada sikap saling menghormati adat resam dan kepercayaaan yang diamalkan oleh pelbagai kaum tadi.

  Sebagai contoh, apabila seseorang itu memasuki rumah orang Melayu, maka dia hendaklah membuka kasutnya terlebih dahulu kerana inilah adat orang Melayu yang rumahnya dikunjungi itu.Biar apa-apa pun bangsa si pengunjung tersebut, wajar benarlah dia menghormati tuan rumah, yakni orang Melayu yang dikunjunginya itu dengan mengikuti amalan tuan rumah berkenaan.Dengan demikian, si pengunjung akan turut dihormati oleh tuan rumah tersebut.

  Begitulah juga apabila seseorang yang berbangsa Melayu mengundang sahabatnya yang berbangsa India ke rumah, maka dia haruslah memastikan bahawa sebarang masakan daging lembu tidak dihidangkan kepada tetamunya.Ketelitian dalam hal yang tampak seolah-olah remeh-temeh ini dapat membangkitkan sikap saling menghormati dan membentuk persefahaman yang harmoni antara dua sahabat yang berlainan bangsa itu.

  Peribahasa “masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak” sebenarnya dapat mengingatkan kita tentang betapa pentingnya kita pandai menyesuaikan diri dengan adat dan kepercayaan yang berbeza-beza.Dengan menjadikan peribahasa ini sebagai pegangan, maka perpaduan antara  penduduk pelbagai kaum di negara kita akan dapat diwujudkan.Dengan menjadikan peribahasa ini sebagai peringatan, persefahaman antara kaum yang sudah sedia terjalin tidak mudah terlerai ibarat “air yang dicincang tidak akan putus”.




LAPORAN
Soalan:
Selaku setiausaha Hari Kantin sekolah, anda diminta oleh pengetua sekolah untuk menyediakan laporan lengkap tentang persediaan untuk menjayakan hari tersebut.Tulis laporan kamu selengkapnya.

Jawapan:

Laporan Persediaan Sambutan Hari Kantin
  Badan Kepimpinan Pelajar (BKP) telah merancang untuk mengadakan Hari Kantin.Hari Kantin ini akan diadakan pada hari Sabtu, 11 September 2011.Objektif utama aktiviti ini diadakan adalah untuk mengumpulkan dana.Dana ini digunakanuntuk membantu persatuan atau kelab menjalankan kegiatan.Selain itu, dana ini digunakan untuk program keceriaan sekolah dan membaik pulih bilik BKP.

  Untuk melancarkan sambutan ini, badan ini telah menubuhkanbeberapa jawatankuasa kecil.Tujuannya adalah untuk pembahagiaan kerja supaya perjalanan Hari Kantin ini berjalan dengan lancar.Sebanyak lapan belas buah gerai disediakan untuk pelajar, kelab, atau persatuan yang ingin berniaga pada hari itu.Gerai-gerai itu akan didirikan di kawasan tepi padang.Hal ini demikian kerana acara sukaneka akan turut diadakan pada hari itu.Jadi para pengunjung dapat menyaksikan sukaneka sambil menjamu selera.Kami menetapkan bahawa jenis jualan setiap gerai perlu berbeza antara satu dengan yang lain.Antara gerai yang bakal didirikan ialah gerai menjual kuih-muih, makanan, pokok bunga,cenderamata, dan permainan.Seperti tahun-tahun yang lepas, semua urus niaga adalah menggunakan kupon.

  Kami menjangka Hari Kantin kali ini mendapat sambutan yang agak meriah.Hal ini demikian kerana dalam tempoh lima hari, pihak kami berjaya menjual kupon sebanyak RM 1500.Hal ini membuktikan bahawa sambutan yang diberikan sungguh baik daripada ibu bapa dan pelbagai pihak.Pihak kami turut membuat persediaan dari segi keselamatan dengan kerjasama daripada Persatuan Bulat Sabit Merah sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.Pada masa ini pihak kami tidak mengalami sebarang kesulitan.Semua perancangan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

  Akhir sekali, Badan Kepimpinan Pelajar amat berharap semoga Hari Kantin tahun ini akan berjalan dengan lancar sebagaimana yang dijadualkan tanpa menghadapi sebarang kerumitan.Saya berharap agar semua pihak dapat memberikan kerjasama sama ada tenaga atau pendapat untuk menjayakan program ini.

Disediakan oleh,
Hafizudin
(Mohamad Hafizudin bin Zainal)
Setiausaha,
Sambutan Hari Kantin,
Kolej Melayu Kuala Kangsar.